Firman Allah Ta’ala di dalam Al-Quran :
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia
menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung
dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan
sayang. Sesungguhnya pada yang demkian itu ada tanda-tanda bagi yang mahu
berfikir. [ Ar-Ruum : 21 ]
Pernikahan adalah impian setiap manusia. Samada mereka
beriman ataupun tidak beriman. Tetapi cara mereka melihat pernikahan itu
berbeza-beza. Istimewanya orang mukmin adalah kerana mereka melihat pernikahan
itu bukan sekadar pernikahan, sebaliknya adalah Baitul Muslim, yakini
rumahtangga orang beriman.
Hakikatnya, baitul muslim sememangnya bukan sekadar akad
nikah. Bukan sekadar majlis walimah. Bukan sekadar ada rasa cinta dan kasih.
Bukan sekadar mendapat zuriat.
Tetapi baitul muslim lebih besar daripada itu. Samada dari
segi maksud, matlamat dan cara.
Hanya dengan memahami dan menghayati kesemua ini barulah
kita dapat mencapai hakikat Baitul Muslim yang terindah.
BIASA-BIASA
Baitul Muslim yang biasa-biasa sebenarnya tidak indah.
Kalaupun di dalamnya ada kasih sayang, kecintaan dan kebahagiaan, ia tetap
tidak indah. Sebagai mukmin, kita tidak mentakrifkan indah mengikut logik akal
semata-mata. Tetapi sudah tentu kita akan mentakrifkan indah itu mengikut
qudwah.
Qudwah yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Sayangnya,
kadang-kadang kita terlalu melihat kepada contoh-contoh bagaimana Nabi s.a.w
berkasih sayang dengan isteri-isteri Baginda. Tetapi kita lupa untuk melihat
secara lebih luas apa yang Nabi praktikkan dalam kehidupan bersama
isteri-isteri Baginda.
Nabi s.a.w sebenarnya mempraktikkan Baitul Muslim yang bukan
biasa-biasa. Sebaliknya Nabi s.a.w menunjukkan kepada kita bagaimana Baitul
Muslim dibina secara ‘luar biasa’ sehingga menjadi indah dan paling indah.
Jadi mari kita lihat, apa yang menjadikan Baitul Muslim itu
indah dan luar biasa mengikut kacamata Islam.
( 1 ) PEMBINAAN INDIVIDU MUSLIM YANG BERTERUSAN
Banyak terjadi, pembinaan individu muslim ( fardul muslim )
hanya terhenti di gerbang akad. Ini suatu yang malang. Jika sebelum nikah dia
seorang yang rajin beribadah, hebat pergantungan dengan Allah, kuat berjuang,
tekun memperbaiki diri, tiba-tiba selepas bernikah semua proses tersebut terus
mati. Seolah matlamat yang dituju dari usaha-usaha tersebut telah tercapai.
Maka tidak perlu lagilah proses pembinaan diri.
Sebenarnya, Baitul Muslim yang paling indah adalah Baitul
Muslim yang dibina oleh dua orang yang masih mengekalkan pembinaan fardul
muslim mereka. Baik suami mahupun isteri, kedua-duanya tetap melazimi apa yang
mereka buat sebelum berkahwin khususnya dari segi ibadah khusus dan ibadah
umum, termasuk perjuangan. Kedua-duanya mengekalkan budaya tegur menegur dan
nasihat menasihati. Kedua-duanya mengekalkan fokus kepada matlamat besar Islam
dan bukan sekadar fokus kepada matlamat peribadi masing-masing.
Inilah yang dipraktikkan oleh Nabi s.a.w. Kita melihat di
dalam sirah, bagaimana ibadah Nabi s.a.w tidak luntur dengan perkahwinan.
Dakwah dan perjuangan Nabi s.a.w tidak haus dengan pernikahan. Bahkan semakin
berganda kehebatannya.
( 2 ) ISTERI YANG SANGGUP DIMADUKAN
Tidak syak lagi, bahawa Baitul Muslim yang terindah hanya
terbina apabila isteri sanggup untuk dimadukan. Baitul Muslim terindah tidak
akan terbina jika isteri seorang yang sangat kuat ‘memonopoli’ suami. Apa yang
terpasak di dalam otaknya adalah ; suami itu hak dia dan tidak boleh dikongsi
dengan sesiapa. Ini silap. Sekiranya ini wujud dalam sesebuah Baitul Muslim,
maka tipislah harapan untuk ia menjadi Baitul Muslim yang terindah.
Bermadu yang dimaksudkan adalah bermadu dengan perjuangan.
Dengan dakwah. Dengan kerja Islam. Dia tidak membolot masa dan perhatian suami
sepenuhnya sehingga memberatkan kaki suami untuk melangkah ke medan juang.
Bahkan dia rela berkongsi masanya dan bersedia mengorbankan kehendak hatinya
demi memastikan dakwah Islam terus subur.
Jika kita lihat dalam sirah, kita akan dapati bahawa Nabi
s.a.w bukan sahaja seorang suami yang terbaik, bahkan Baginda s.a.w juga adalah
panglima perang yang terbaik. Sesungguhnya semua itu tidak akan tercapai tanpa
pengorbanan dan sokongan daripada isteri-isteri dari belakang tabir.
( 3 ) ZURIAT SEBAGAI PRODUK DAKWAH
Antara lain, Baitul Muslim terindah akan tercapai sekiranya
suami dan isteri menjunjung komitmen untuk meramaikan zuriat sebagai kader
dakwah. Sebagai penyambung generasi yang memperjuangkan Islam di muka bumi.
Bukan sekadar melahirkan anak-anak yang comel, kemudian memberikan kasih sayang
tanpa sempadan dan dalam masa yang sama mengabaikan tarbiyah Islam ke atas
anak-anak tersebut. Hendak jadi penyanyi, penyanyilah. Hendak jadi penari, penarilah.
Hendak bukak tudung, bukak tudunglah. Hendak berkawan bebas lain jantina,
berkawanlah. Ini sangat jauh dari makna sebenar Baitul Muslim itu sendiri.
Bahkan di awalnya lagi, sebelum berkahwin sewajarnya tekad
untuk meramaikan zuriat ke jalan Allah menjadi salah satu target yang penting.
Lebih bagus kalau diniatkan supaya satu keturunan kita semuanya pejuang.
Semuanya ada sumbangan dan jasa untuk Islam. Barulah suami dan isteri ada bonus
berpanjangan. Bukankah salah satu dari amalan yang tidak terputus sampai mati
adalah anak-anak yang soleh?
Nabi s.a.w bersabda : Apabila mati anak Adam, maka
terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara : Sedekah jariah, Ilmu
yang bermanfaat dan Anak Soleh yang mendoakannya.
( 4 ) MATLAMAT YANG SAMA UNTUK ISLAM
Paling penting, untuk mencapai Baitul Muslim yang terindah,
kedua-dua suami dan isteri harus mempunyai matlamat yang sama untuk Islam.
Matlamat peribadi boleh sahaja berbeza-beza dan boleh diselesaikan melalui
perbincangan. Tetapi matlamat yang ‘tidak dapat tidak’ adalah memberi sumbangan
kepada Islam.
Kita jangan ingat hendak memberi sumbangan kepada Islam itu
hanya dengan suami menjadi penceramah, atau isteri menjadi guru agama.
Menyumbang kepada Islam sangat luas konteksnya. Apa yang kita tidak mahu adalah,
berkahwin dan hidup sendiri-sendiri. Dapat anak, cari harta dan hidup senang
lenang. Masa, idea, tenaga hatta wang ringgit, sedikitpun tidak disalurkan
kepada perjuangan Islam. Jika begitu keadaannya, indahkah Baitul Muslim
tersebut? Apakah itu keindahan Baitul Muslim yang dicontohkan oleh Rasulullah
s.a.w?
Maka binalah Baitul Muslim dengan menetapkan matlamat : kami
mesti menjadikan rumahtangga ini suatu bonus kepada Islam. Duduk semeja dan
bincangkan, apakah yang boleh disumbangkan kepada Islam dengan terbinanya
Baitul Muslim ini? Boleh jadi kemampuan berbeza-beza, bakat berbeza-beza,
kelebihan berbeza-beza. Tidak mengapa, yang penting kita proaktif dan tidak
pasif.
Ingatlah kembali di ketika sebelum berkahwin, kita
bersungguh-sungguh menadah tangan dan bersolat hajat supaya Allah ‘selamatkan
agama’ kita dengan perkahwinan. Kini setelah Allah izinkan pernikahan ke atas
kita, sanggupkah kita pejamkan mata sahaja dari menyumbang kepada agamaNya?
PENUTUP
Setiap orang mahukan rumahtangga yang paling bermakna buat
mereka. Dan saya berpendapat, rumahtangga yang bermakna haruslah dibina dengan
perkara-perkara yang bermakna. Bermakna pada kita dan bermakna pada agama.
Sesungguhnya Baitul Muslim yang terindah adalah Baitul
Muslim yang wujud di dalamnya keseimbangan antara percintaan dan perjuangan.
Bukanlah Baitul Muslim yang terbina dengan kasih sayang dua insan sehingga
melupakan amanah dari Tuhan!
Sharing is carring :)